Powered By Blogger

Sunday, 4 August 2013

Amalan Rumah Terbuka

          Rumah terbuka atau 'open house' sudah menjadi lumrah pada sambutan perayaan di negara ini termasuk Deepavali, Tahun Baru Cina, Hari Natal dan juga Hari Raya Aidilfitri. Perayaan seperti ini tidak lengkap jika tiada rumah terbuka sehingga seluruh lapisan dan pelbagai lapisan masyarakat mengetahui istilah rumah terbuka yang menjadi amat sinonim dengan kehidupan mereka. Kerajaan Malaysia pada tahun 2000 telah memutuskan sebanyak enam perayaan kaum atau agama dianggap sebagai perayaan utama negara yang diraikan di peringkat kebangsaan anjuran bersama kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Menyedari kesungguhan kerajaan untuk menganjurkan rumah terbuka pada peringkat nasional, persoalan yang sering berlegar-legar di gawang minda kita ialah apakah kepentingan-kepentingan amalan rumah terbuka?
          Sebenarnya, amalan rumah terbuka yang diwujudkan banyak memberikan kepentingan terutamanya dalam mengeratkan perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia. Perpaduan yang terjalin sekali gus dapat memudahkan pencapaian matlamat atau misi dan visi negara dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bangsa. Selain itu, amalan rumah terbuka turut memberikan makna besar kepada anggota masyarakat mengenai erti perpaduan yang harus wujud untuk mengelakkan sebarang perijudis terhadap keharmonian negara. Amalan ini juga dilihat sebagai salah satu pertemuan yang melupakan pertentangan pendapat, perbezaan idealogi, perbezaan konsep politik mahupun berlainan parti politik sama ada pembangkang atau kerajaan. Jadi, setiap kaum seperti Melayu, India, Cina, Kadazan dan sebagainya boleh berkunjung ke rumah terbuka kaum lain tanpa sebarang halangan dan kekangan yang perlu dibimbangi. Sehubungan dengan itu, perasaan muhibah antara satu sama lain dapat mewujudkan kehidupan yang lebih harmoni. Tegasnya, konsep penyatuan antaran kaum dapat dihidupkan melalui amalan rumah terbuka.
          Di samping mewujudkan perpaduan dalam kalangan anggota masyarakat serta pemimpin sendiri, amalan rumah terbuka ini juga dapat membantu sesama kaum memahami budaya kaum-kaum lain. Mereka hanya akan merayakan perayaan itu bersama-sama walaupun mereka berbeza latar belakang, budaya dan juga agama. Amalan ini juga membolehkan setiap kaum mengenali juadah kaum-kaum lain, memahami antara satu sama lain selain didedahkan kepada adat resam dan pantang larang rakan-rakan mereka sendiri. Sebagai contoh, orang-orang india, Cina, Iban, Kadazan dan sebagainya merayakan sambutan Aidilfitri bersama-sama dengan orang Melayudan begitu juga sebaliknya. Hal ini dapat membantu mereka mempelajari budaya dan adat kaum lain serta budaya yang sihat juga dapat diwujudkan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum  di negara kita. secara tidak langsung semangat tolenransi akan tersemai dalam kalangan generasi sekarang. Pendek kata, budaya dan adat resam kaum lain dapat dipelajari melalui amalan murni ini.